Soalan; uztaz, saya perhatikan ramai yang hadir Jumaat di hujung-hujung khutbah, jadi mereka tidak sempat mendengar khutbah, kalau dengar pun sedikit sahaja. Apa jadi pada solat jumaat mereka?
Jawapan;
Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang beriman (khususkan kaum lelaki) agar segera menuju ke masjid untuk mendengar khutbah apabila sahaja mendengar seruan azan untuk solat jumaat. Mereka dikehendaki meninggalkan segala urusan mereka (jual-beli dan sebagainya). Setelah selesai solat jumaat, mereka boleh kembali kepada urusan mereka. Firman Allah;
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
"Wahai orang-orang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari jumaat, hendaklah kamu segera untuk mengingati Allah dan tinggalkanllah jual-beli. Itu lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. Kemudian apabila selesai solat, bolehlah kamu bertebaran di muka bumi..." (Surah al-Jumu'ah, ayat 9 dan 10).
Menurut ulamak; maksud segera untuk mengingati Allah dalam ayat di atas ialah; segera untuk mendengar khutbah jumaat dan melakukan solat jumaat selepasnya.(1)
Arahan Allah "dan tinggalkanlah jual-beli" menunjukkan bahawa segala jenis akad dan mu'amalah wajib ditinggalkan apabila mendengar azan jumaat. Masih menyibukkan diri dengannya pada ketika itu adalah haram di sisi Syariat.(3).
Menurut mazhab Syafiie; orang yang wajib menghadiri solat jumaat, apabila matahari telah tergelincir dari tengah langit, makruh dia masih berjual-beli atau melakukan sebarang urusan yang menyibukkannya dari segera hadir mendengar khutbah jumaat. Namun apabila imam sudah berada di atas mimbar dan muazzin mula melaungkan azan, segala urusan tersebut tersebut menjadi haram (berdosa).(4) Menurut Imam Malik dan Imam Ahmad;jual-beli yang dilakukan setelah azan jumaat bukan sahaja haram, akan tetapi fasad (tidak sah). Menurut mazhab Syafiie; sekalipun haram, namun akad masih sah.(5)
Kesimpulannya, hadir lewat ke majlis solat jumaat hingga ketinggalan dari khutbah jumaat, perbuatan itu adalah dilarang kerana ia menyalahi arahan Allah dalam al-Quran. Adapun solat jumaat, menurut ulamak; seseorang itu dikira solat jumaatnya jika dia sempat mendapat satu rakaat bersama imam. Jika dia datang lewat hingga tidak mendapat satu rakaat bersama imam, solat jumaat tidak dikira baginya dan dia wajib menyambung solatnya menjadi solat zohor (yakni mencukupkan solat hingga 4 rakaat).(6)
Menurut fatwa Syeikh Dr. Muhammad Bakar Ismail; orang yang mengerjakan solat jumaat tanpa mendengar khutbah sedikitpun; solat jumaatnya sah, namun tidak berpahala kerana pahala solat jumaat dikira bersekali dengan mendengar khutbah. Sila baca jawapan saya sebelum ini
Wallahu a'lam.
0 ulasan:
Catat Ulasan