Telah tertulis dalam diri setiap insan bahawa kita tidaklah sempurna mana. Sedar atau tidak, kadang kita tersasar dalam kehidupan. Melakukan dosa tanpa dipandu akal dan fikiran. Mengikut nafsu yang sentiasa menghasut diri yang penuh kelemahan.
Namun, Allah Ya Muhyi tetap memberikan kita nafas untuk dihela, walau diri banyak terpalit dosa. Mengapa? Kerana Dia Ya 'Afuw Ya Ghafur masih menunggu taubat kita. Masih menunggu keinsafan hamba-Nya. Cuma kita yang tetap leka dengan nikmat dunia yang bersifat sementara.
Taubat itu tiada anggaran had waktunya. Bukan sebulan sekali, atau setahun sekali apatah lagi jika mahu menunggu usia sudah tua.
Rasulullah s.a.w yang bersifat maksum dan dijamin syurga pun sentiasa bertaubat pada setiap masa. Istighfar tidak pernah sekali lekang di bibir baginda. Inikan pula kita, para pendosa.
Berikut di kongsikan 5 kepentingan menyegerakan taubat:
1. Meraih Ilham Daripada Allah Untuk menghenyak Nafsu Yang Bermaharajalela
Ilham itu datangnya daripada Allah untuk menyuruh kita melakukan kebaikan. Berbeza dengan nafsu, yang mengajak kita ke arah kejahatan.
Ilham dan nafsu itu umpama satu pertandingan yang memberikan kita dua bentuk balasan. Sama ada syurga yang penuh kenikmatan, atau neraka yang penuh kesengsaraan.
Cuba bayangkan, alangkah ruginya kehidupan ini andai ilham itu tidak menjengah ke dalam hati kita. Bagaimana mungkin kita mampu meraih pahala kebaikan kalau ilham itu tidak kunjung tiba.
Kerana itulah kita dituntut untuk bertaubat kepada-Nya agar diberi ilham yang sangat didamba.
2. Bukan Manusia Sempurna
Sebagai manusia, kadang-kadang kita melakukan kesilapan dalam sedar atau tidak. Kesalahan itu boleh menyebabkan kita mengumpul dosa yang membolehkan kita menjauh dari rahmat Allah.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Berhati-hatilah kalian terhadap dosa kecil, kerana jika berkumpul dalam diri seseorang ia akan dapat membinasakannya."
H.R Ahmad dan Al-Tabrani
Hidup ini memerlukan keberkatan dan keredhaan Allah. Barulah terasa nikmatnya walaupun beroleh kemenangan di akhirat sana.
3. Menghadirkan ketenangan Dalam Kehidupan
Dosa-dosa yang kita kumpul akan menyebabkan kita berasa resah dan gelisah. Hidup jadi tidak tentu arah, segalanya rasa serba tak kena. Selagi mana kita tidak bertaubat, selagi itulah segalanya terasa kelat. Tiada ketenangan walaupun zahirnya nampak sempurna.
Duhai insan, sujudlah memohon keampunan.
Nescaya akan terasa kedamaian. Bahkan boleh meningkatkan ketakwaan dengan merasakan diri sebagai hamba-Nya yang sangat mengharapkan ketenangan.
4. Ajal Tidak Menunggu Untuk Bertaubat
Ajal setiap insan telah tertulis di dalam Lauh Mahfuz. Tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Ada yang < 'pergi' sewaktu usia muda, ada yang sewaktu masih sihat tubuh badannya dan ada yang baru tadi kita jumpa sedang bergelak ketawa.
Kita tidak tahu bila ajal akan menjemput kita bahkan ajal tidak sesekali menunggu kita untuk bertaubat. Jadi janganlah berlengah untuk bertaubat, dikhuatiri nanti kita tidak sempat.
5. Bila Matahari Terbit Dari Barat
Jika matahari sudah terbit dari Barat, segalanya sudah tidak diterima lagi hatta keimanan, kebaikan mahupun taubat.
Qurthubi dalam tafsirnya menjelaskan, para sarjana Muslim berkata:
"Keimanan tidak berguna lagi bagi manusia ketika matahari terbit dari barat, kerana hati mereka sudah dirasuk ketakutan sehingga memadamkan semua syahwat dan melemahkan setiap kekuatan badan.
Kerana yakin hari kiamat sudah dekat, keadaan semua manusia berubah menjadi seperti keadaan orang yang menghadapi kematian. Dorongan bagi melakukan maksiat sudah terputus dan lenyap daripada diri mereka.
Oleh sebab itulah, taubat orang yang bertaubat dalam keadaan itu tidak akan diterima sebagaimana tidak diterimanya taubat orang yang dijemput ajal. "
Janji Allah Bagi Mereka Yang Bertaubat
Bertaubatlah, kerana Allah telah berjanji akan mengampunkan. Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda bahawa Allah berfirman:
"Wahai anak Adam! Sekalipun engkau datang kepada-Ku dengan membawa dosa-dosa sebesar bumi, namun sesekali tidak mensyirikkan-Ku, Aku pasti akan datang kepadamu dengan membawa pengampunan sebesar bumi juga. "
H.R At-Tarmizi
Bahkan Allah berfirman dalam Surah Taha, ayat 82:
"Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya."
0 ulasan:
Catat Ulasan